Dua rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Bintawa Tengah

KUCHING: Seramai 16 orang daripada dua keluarga hilang tempat berteduh selepas dua rumah di Kampung Bintawa Tengah, Jalan Tiga Dara di sini musnah dalam kebakaran pada 27 Januari 2019.


Empat penghuni rumah pertama, dan 12 penghuni rumah kedua yang merangkumi tiga kanak-kanak perempuan berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian sekitar tengah hari itu. 
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, seramai 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikerahkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.


"Dua buah rumah jenis tidak kekal telah musnah 100 peratus dalam kebakaran tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pasukan dari BBP Padungan dan BBP Tabuan Jaya turut dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu memadamkan kebakaran yang berjaya dipadam sepenuhnya pada pukul 1.47 tengah hari. 


Tiada sebarang kecederaan dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Comments

Popular Posts