Tentera patahkan cubaan seludup keluar motosikal curi di Sempadan

Antara motosikal yang ditinggalkan suspek di lokasi kejadian
Anggota tentera menyerahkan motosikal tersebut kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.


BAU: Lima lelaki disyaki warga asing lari lintang pukang sebaik sahaja disergah anggota tentera yang melakukan rondaan di Kampung Stass, di sini, berdekatan sempadan Malaysia-Indonesia sekitar jam 5 pagi hari ini.
Menurut sumber, kelima-lima suspek semasa kejadian menunggang empat buah motosikal dalam perjalanan menuju ke arah Indonesia menggunakan laluan tikus.
“Anggota tentera yang melakukan rondaan ‘Op Serkap’ mengarahkan kesemua suspek berhenti untuk pemeriksaan tetapi mereka yang terkejut terus melompat dari atas motosikal dan melarikan diri ke arah Indonesia.
“Hasil pemeriksaan mendapati keempat-empat motosikal tersebut mengalami kerosakkan pada bahagian kunci penghidup suis,” kata sumber.
Turut ditinggalkan suspek di tempat kejadian ialah alat pemotong besi.
Kesemua motosikal bersama alat pemotong besi tersebut kemudian diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah DSP Poge Nyaon semasa dihubungi mengesahkan perkara tersebut dan menurutnya hasil siasatan mendapati keempat-empat motosikal tersebut pernah dilaporkan hilang.
“Dua daripada motosikal tersebut dilaporkan hilang dipercayai dicuri malam tadi di Taman Janting,” katanya.
Siasatan lanjut polis berhubung kejadian masih dijalankan.
 
  •  oleh 
  • Comments

    Popular Posts